Getah skrap kena curi

SELAMA – Di sebalik kegembiraan penoreh getah terhadap kenaikan harga komoditi itu terselit kegusaran yang tinggi apabila terpaksa berdepan dengan kes kecurian hasil dalam tempoh beberapa minggu ini.

Perkara itu meskipun bukan sesuatu yang baru, namun ia bukan satu masalah yang kecil buat penduduk kampung apatah lagi pendapatan yang cukup-cukup makan itulah yang ditagih untuk menampung kos hidup.

Seperti yang diluahkan penduduk di Selama yang mana 78 peratus penduduknya menjadikan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan utama, antara yang terbesar adalah getah.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata penoreh melahirkan rasa bimbang dan keluh kesah mereka berhubung kejadian kecurian getah skrap yang semakin berleluasa.

Pendapatan naik sekali ganda

Seorang penoreh yang ditemui, Rosanah Said, 60, dari kampung Anak Sungai Rambutan berkata, sejak harga getah naik, pendapatan diperoleh hampir sekali ganda antara RM200 berbanding sebelum ini sekitar RM120.

Bagaimanapun katanya, dengan berlakunya kes curi getah skrap, mereka hanya mendapat sekitar RM20-50 bagi tempoh seminggu menoreh.

“Kes ni baru je jadi minggu lepas, datang ke kebun nak kutip getah, tapi habis semua dicuri. Luluh rasa hati sebab wang hasil getah itu sebenarnya nak guna untuk beli barangan persekolahan anak.

“Memang kecewa dan sedih kerana sumber pendapatan hanya diperoleh melalui menoreh getah,” katanya.

Rosanah berkata, setiap hari dia akan keluar rumah sekitar jam 4 pagi hingga 11 pagi untuk menoreh.

“Besar harapan untuk mendapatkan rezeki tetapi apabila sering dicuri, pendapatan kami penoreh memang akan terus terjejas walaupun harga getah naik,” katanya.

Rosanah yang juga seorang ibu tunggal berkata, menoreh getah adalah sumber pendapatannya sejak berusia 10 tahun lagi.

“Tidak kira harga murah atau mahal, makcik tetap akan menoreh bagi menampung keperluan hidup.

Katanya, dia hanya menoreh kebun orang seluas empat ekar dan hasilnya perlu di bahagi dua pula.

“Jadi pendapatan yang makcik peroleh tidak seberapa dan jika kejadian kecurian ini terus berlaku, bagaimana kami ingin memperoleh pendapatan lebih,” katanya.

Kes curi bantutkan kegembiraan

Bagi Siti Rohani Ahmad, 45, berkata, dia juga mula menoreh sejak tujuh tahun lalu dan kenaikan harga getah baru-baru ini sebenarnya langsung tidak membantu penoreh berikutan kejadian curi yang berlaku.

“Bayangkanlah untuk mendapatkan sedikit duit, saya perlu berjalan kaki selama satu setengah jam setiap hari untuk ke kebun getah.

“Saya akan bersama sepupu untuk menoreh dan hasil yang diperoleh akan dibahagi dua dengan pemilik kebun kemudian dibahagi lagi dua.

“Kami tidak boleh hidup senang dengan hanya menoreh kerana pendapatan yang diperoleh hanya sekadar cukup makan.

“Sebelum harga naik, saya hanya dapat sekitar RM 70 seminggu dan bayangkanlah perbelanjaan yang boleh digunakan untuk menampung keperluan harian dan perbelanjaan persekolahan anak dengan jumlah tersebut,” katanya.

Katanya, mereka bukan tak gembira dan bersyukur dengan kenaikan harga getah, tetapi penoreh tidak dapat merasainya berikutan risiko kecurian yang kerap berlaku.

“Oleh itu, kami penoreh getah amat berharap pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha mengatasi masalah ini,” katanya.

'Angkara penagih'

Adun Selama, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff berkata, tidak dinafikan bahawa selepas kenaikan harga itu, beliau sering menerima aduan daripada pekebun kecil ini bahawa mereka bimbang dengan kegiatan mencuri getah skrap yang semakin berleluasa.

Menurutnya, kegiatan tersebut mula aktif di kawasan Selama selepas harga getah naik, namun ia masih belum sampai pada tahap yang serius.

“Kegiatan tersebut, tidak boleh terus dibiarkan begitu sahaja sebaliknya elemen membanteras perlu dilakukan secara bersepadu antara pihak polis dan agensi-agensi yang berkaitan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan mereka yang melakukan kegiatan mencuri getah skrap ini adalah mereka yang terlibat dengan dadah.

“Kegiatan mereka ini tidak mengira masa dan dilakukan tanpa rasa takut, walaupun sedar bahawa perbuatan tersebut salah, atas desakan untuk membeli dadah mereka sanggup mencuri dengan mengambil jalan singkat,” katanya.

Mohamad Daud berkata, kegiatan mencuri, dadah dan judi yang berlaku ini sememangnya mengganggu kehidupan penduduk tambahan dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Ekonomi penduduk seolah-olah diragut sehingga lompong dan senario tersebut harus dikekang hingga ke akar umbi,” katanya.

Polis lakukan pemantauan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, dalam tempoh terdekat ini, polis belum menerima sebarang aduan daripada penoreh getah berhubung kegiatan mencuri getah skrap.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna pihaknya berdiam diri sahaja tanpa melakukan pemantauan.

“Kita sentiasa meningkatkan pelbagai usaha bagi membanteras kegiatan kecurian bukan hanya melibatkan getah, tetapi hasil tanaman lain seperti kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata, usaha telah dijalankan antara pencegahan jenayah antaranya dengan melakukan sekatan jalan raya, ronda cegah jenayah, ronda berjalan kaki dan Ops biru iaitu rondaan yang dilakukan sekitar jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.
 

Tragedi menjelang Krismas ragut 18 nyawa

KUALA LUMPUR - Sehari menjelang Krismas, 18 nyawa melayang dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di Muar, Johor dan Tampin, Negeri Sembilan.

Awal pagi tadi kira-kira kira-kira pukul 3.30 pagi, sebuah bas ekspres terjunam ke dalam cerun setinggi 10 meter di Kilometer 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, Johor.

Dalam kemalangan itu 14 maut manakala 16 lagi cedera, manakala di Tampin pula, empat sekeluarga termasuk dua bayi kembar berusia satu tahun maut dalam kemalangan membabit dua kenderaan di Jalan Tampin-Gemas.

Kejadian di Tampin berlaku pukul 3.20 petang hari ini apabila sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki enam sekeluarga dipercayai terbabas sebelum melanggar sebuah kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki yang berusia 62 tahun yang datang dari arah bertentangan.

Kemalangan jalan raya dilihat sering berlaku setiap kali musim perayaan sekali pun pelbagai langkah penguatkuasaan dilakukan dalam memberi kesedaran kepada para pengguna agar memandu secara berhati-hati.

Kemalangan bas menyayat hati itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menerusi catatan di Twitternya hari ini merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan bas ekspres yang mengorbankan 14 nyawa.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah bertindak menggantung serta-merta lesen perkhidmatan Goldstar Express (M) Sdn Bhd, pengendali bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Muar itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai turut mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk menjalankan siasatan terhadap nahas bas itu.

Liow berkata kementerian memandang serius kemalangan bas ekspres itu dan siasatan perlu dilakukan dari pelbagai sudut keselamatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang, dalam analisis beritanya hari ini berkata: "Satu lagi kemalangan membabitkan bas ekspres yang meragut banyak nyawa tetapi seperti biasa tiada usaha serius dilakukan untuk memastikan perjalanan lebih selamat dan nampaknya tragedi yang berlaku pada masa lalu tidak dijadikan iktibar.

Tragedi menjelang sambutan Krismas ini adalah satu daripada tragedi yang berlaku dari semasa ke semasa dalam dekad lalu yang mengorbankan banyak nyawa terutama semasa musim perayaan apabila permintaan bagi pengangkutan awam biasanya melonjak tinggi," kata Azman.

Menurutnya walaupun banyak faktor dipersalahkan bagi kemalangan maut membabitkan bas ekspres, termasuk faktor pemandu yang mengantuk adalah punca utama nahas, sama ada majikan mereka menerima hakikatnya atau tidak.
Perkara itu harus mula menyedarkan pihak berkuasa keselamatan jalan raya untuk berfikir di luar kotak dan mengambil beberapa tindakan drastik dan tidak sebaliknya berpuas hati dengan status quo yang hanya boleh menyebabkan berlaku lagi kemalangan dan kematian, katanya.

"Berapa banyak lagikah kemalangan yang akan berlaku, baru kita dapat melihat langkah-langkah pencegahan seperti melarang bas ekspres melakukan perjalanan semasa "waktu mengantuk" dan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang dikuatkuasakan?," kata Azman. - Bernama

BOY IMAN KINI BERGELAR DOKTOR

Di Facebook ramai yang terkejut apabila melihat pelakon Boy Iman yang menerima anugerah yang membawa gelaran Doktor. Sedangkan sebelum ini tak ramai pun yang tahu dia sedang menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran.

Menyingkap dengan lebih lanjut mengenai gelaran tersebut, Boy berkata meskipun pernah gagal namun itu bukanlah penghalang.

"Saya memang sudah sambung belajar sejak 2013. Walaupun pernah gagal tetapi saya mesti usaha dalam apa cara sekalipun untuk habiskan pengajian ini.

"Program yang saya ikuti ini pengajian jarak jauh (PJJ), bagi saya ilmu itu penting untuk masa depan.

"Pada awal mengikuti kursus kedoktoran saya ambil bidang bisnes namun saya tak dapat nak bawa, jadi saya buat keputusan untuk tukar ke bidang sosial dan kemanusiaan. Bidang yang saya ambil ini buat research untuk thesis dan assignment.

"Alhamdulillah syukur dengan ada bantuan kefahaman pensyarah saya dapat habiskan pengajian saya. Dalam proses nak habis tu ada jugalah saya mendapatkan bantuan dengan memberikan upah untuk check susunan ayat Bahasa Inggeris," ujarnya yang sudah menyelesaikan majlis konvokesyen baru-baru ini

Jadi gelaran yang Boy Iman gunakan sekarang adalah Datuk Dr Boy Iman.

Lagi nahas maut akibat tayar pecah

TANJUNG MALIM – Belum pun reda kemalangan maut melibatkan suami isteri yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan, Selasa lalu, satu lagi nahas maut berlaku, kali ini di Kilometer 366.7 lebuhraya sama arah Utara, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.53 petang itu dipercayai berpunca masalah sama iaitu tayar pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, kejadian menyebabkan seorang wanita dikenali Ch’ng Siew See, 48 tahun maut di tempat kejadian sementara anak lelakinya berusia 10 tahun, putus jari kaki kiri.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama suami, dua anak dan seorang pembantu rumah dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke Pulau Pinang.

“Tiba di lokasi kejadian, tayar belakang bahagian kiri pecah menyebabkan kereta jenis Peugeot dipandu suami mangsa hilang kawalan lalu berpusing dan melanggar pembahagi jalan.

“Suami mangsa berusia 48 tahun, anak  perempuan berusia 17 tahun serta pembantu rumah warga Indonesia berusia 32 tahun tidak cedera.

“Bagaimanapun kesemua mereka dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, sepasang suami isteri maut sementara enam yang lain parah dalam nahas membabitkan lapan kenderaan apabila sebuah lori tangki hilang kawalan selepas tayar hadapan bahagian kanan pecah sebelum merempuh pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.

Gadis Mati Lemas Gara-Gara Haid

KATHMANDU: Seorang gadis berusia 15 tahun meninggal dunia akibat amalan adat kuno, 'Chhaupadi' di barat Nepal, lapor polis, hari ini. Pegawai polis, Badri Prasad Dhakal, berkata Roshani Tiruwa dipaksa mengasingkan diri dan tinggal dalam kandang yang kurang udara kerana datang bulan. Adat itu sudah diharamkan oleh kerajaan sejak 2005. Mayat remaja itu ditemui oleh bapanya pagi Ahad lalu dalam sebuah pondok yang diperbuat daripada lumpur di kampung Gajra, daerah Achham, kira-kira 440 kilometer dari barat Kathmandu. "Kami menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematiannya. Kami percaya dia mati lemas. "Mangsa menyalakan api untuk memanaskan badan sebelum tidur di dalam kandang yang tiada pengudaraan," kata Badri kepada REUTERS menerusi telefon dari Sanfebagar, bandar utama, di sini. Menurut kepercayaan 'Chhaupadi,' wanita datang bulan dianggap pembawa malang kepada masyarakat, oleh itu mereka dilarang minum susu dan dibenar makan sedikit sahaja dalam tempoh berkenaan..:-Kopi O

Fenomena Siang dan Malam Lebih Panjang Esok

BUMI bakal mengalami fenomena solstis musim sejuk di hemisfera utara dan solstis musim panas di hemisfera selatan esok.

Menurut Pegawai Sains Planeterium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, fenomena ini akan membuatkan bumi mengalami hari paling singkat di hemisfera utara manakala di hemisfera selatan pula, hari paling panjang.

“Fenomena solstis musim sejuk terjadi apabila matahari berada di titik terendah langit mengakibatkan bumi mengalami hari yang singkat di hemisfera utara.

“Sementara di hemisfera selatan, matahari akan berada di titik tertinggi menyebabkan kawasan tersebut akan mengalami hari terpanjang bagi tahun 2016 ini yang juga turut dikenali sebagai solstis musim panas,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu risau mengenai perkara ini kerana ia merupakan fenomena biasa dan hanya memberi kesan dari segi musim dan tempoh panjang hari yang berbeza di kawasan hemisfera utara dan selatan bumi sahaja.

Tambahnya lagi, fenomena solstis ini berlaku setiap tahun dan disebabkan oleh kedudukan paksi bumi yang condong sebanyak 23.5 darjah.

Namun begitu, tarikh dan masa bagi fenomena ini berubah saban tahun kerana perbezaan kalendar tahunan yang mempunyai 365 hari setahun sedangkan pergerakan sebenar bumi mengelilingi matahari (atau tahun solar) adalah selama 365.26 hari.

Untuk pengetahuan ramai, tahun solar merupakan tempoh sebenar yang diperlukan bumi mengorbit sepenuhnya mengelilingi matahari dan tempohnya panjang sedikit berbanding dengan kalendar yang kita guna dalam satu tahun.

Tiada Sebarang Tempoh Akhir Untuk Tukar Kad ATM - Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR: Pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan telah menafikan dakwaan yang pihak bank akan mengenakan caj kepada pemegang kad ATM dan kad debit sekiranya mereka tidak menukar kepada kad baharu dalam tempoh yang ditetapka, lapor Kosmo!.

Melalui kenyataan yang dibuat di laman Facebook mereka, pihak BNM menegaskan  orang ramai masih boleh menggantikan kad tersebut di mana-mana bank secara percuma tanpa ada tarikh tamat tertentu.

“Bank Negara sekali lagi menegaskan bahawa orang ramai boleh menggantikan kad debit secara percuma di bank masing-masing.

“Orang ramai juga masih boleh terus menggunakan kad mereka sedia ada di mesin ATM walaupun belum menukar kepada kad debit baharu,” kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan itu juga menyatakaa, pihak bank dikehendaki mengeluarkan notis yang mencukupi dan tempoh masa yang munasabah jika mahu meminta pengguna melakukan penukaran kad sebelum menamatkan fungsi kad sedia ada untuk transaksi pembelian.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.bnm.gov.my atau melalui kaunter BNM atau menghubungi talian 1 300 88 5456.

Sejak minggu lalu orang ramai dilihat berpusu-pusu ke bank untuk menukarkan kat ATM berikutan tersebarnya berita yang menyatakan kad mereka akan disekat penggunaan jika tidak digantikan dengan kad baru iaitu yang mempunyai fungsi MyDebit, selain itu ia juga menyebut mereka juga akan dikenakan caj jika handak menukar kad berkenaan jika melebihi tempoh yang ditetapkan.

Melecur selepas makan biskut naga

ALOR SETAR – Biskut naga yang memberi keseronokan kepada yang menikmatinya bertukar menjadi makanan berbahaya apabila berlaku lima kes anggota badan melecur.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, biskut naga yang boleh diperolehi sekitar RM10 setiap 20 keping.

“Ramai anak muda gemar mencuba ‘biskut berasap’ sebab mungkin mereka rasa seronok kerana hanya memasukkan biskut dalam mulut, ia akan mengeluarkan asap seakan-akan asap rokok.

“Keseronokan itu akhirnya membawa padah apabila lidah mereka menjadi bengkak dan kulit tangan melecur dipercayai kesan daripada cecair nitrogen yang terdapat pada biskut berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, biskut yang menjadi fenomena seluruh dunia itu juga mudah didapati di sekitar pusat bandar sejak kebelakangan ini.

“Aduan pertama kita terima pada Khamis lalu apabila seorang pengguna mengalami bengkak di bahagian lidah setelah makan biskut berkenaan.

“Kemudian kita terima pula aduan daripada pengguna yang melecur di tangan selepas memegang biskut tersebut yang dipercayai ada bahan campuran berbahaya,” katanya.

Menurutnya, insiden itu memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak untuk mengelak lebih ramai pengguna menjadi mangsa.

“Pada saya, ini satu budaya tidak elok yang cuba dibawa masuk oleh pihak luar. Kita kena tangani perkara ini secepat mungkin demi keselamatan pengguna,” katanya.