Terima kasih, bantuan sudah tiba di Syria

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Terpanggil dengan 'seruan' bebanan rakyat Syria yang kini berhadapan dengan kesukaran meneruskan hidup, ada perkhabaran gembira buat mereka.

Lima buah trak yang membawa 'bekalan' sumbangan rakyat Malaysia kini sudah sampai ke tanah air mereka.

Menurut Ketua Misi Penghantaran Bantuan Kecemasan RescueSyria (Mapim), Sani Araby al Kahery, yang kini berada di sempadan Turki-Syria memberitahu, kesemua trak itu mengandungi bekalan makanan, pemanas air dan keperluan lain untuk memenuhi tuntutan mereka di sana.

"Trak pertama dan kedua membawa 50 tan tepung untuk dibuat roti dan akan dihantar kepada 50,000 keluarga pelarian, sementara itu trak ketiga pula membawa selimut, sebanyak 2,000 selimut akan dihantar terus kepada pelarian baharu di Aleppo dan kawasan berdekatan, seterusnya kita hantar 1000 pemanas air (trak keempat) yang berharga RM250 satu, dan kita perlukan 1000 lagi, jadi kita buka wakaf kepada sesiapa yang ingin beli pemanas air... dan trak kelima membawa 'food pack' untuk diberikan kepada 3000 keluarga dalam Syria.

"Untuk makluman tiga trak akan di hantar hari ini (semalam) dan dua terus masuk ke dalam Syria," katanya menerusi Live di Facebooknya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga telah berjaya menghantar dua buah ambulans ke Syria.

"Ianya untuk kegunaan di hospital Aleppo dan kita akan hantar pesakit ke Sempadan Turki untuk di ambil alih oleh Kementerian Kesihatan Turki di sempadan itu, kini kita sasarkan lagi dua buah ambulans.

"Untuk semua ini saya ucapkan terima kasih buat rakyat Malaysia, kerana banyak membantu," katanya lagi.

Sementara itu, perkembangan semasa di kem tahanan pelarian di Syria kini, pelarian berdepan dengan cuaca sejuk melampau yang berpotensi mengancam nyawa khusus kepada anak kecil.

Difahamkan, khemah yang digunakan untuk menempatkan setiap keluarga gagal memberikan kehangatan yang selesa buat mereka.

Malah, pelarian Syria mendakwa, mereka masih tidak dapat lena di malam hari akibat terlalu sejuk.

Dua pengikut Ajaran Harun dijatuhi hukuman mati

KUANTAN - Dua pengikut Ajaran Harun dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Raffli Abd Malek, tiga tahun lalu.

Manakala tertuduh lain iaitu Harun Saat yang meninggal dunia pada 16 Ogos lalu, isterinya, Azida Mohd Zol,33, pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40 dan Jefferi Safar, 39, dilepaskan dan dibebaskan kerana pendakwaan membuktikan mereka terlibat melakukan konspirasi tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan selepas meneliti hujahan pihak pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Khamizah Salleh, Nurul Farahah Mohd Suah dan Shahrul Ekhsan Hasim dan peguam bela semua tertuduh.

Sumustapha Suradi, 41, dan Shamsinar Abdul Halim, 39 didapati bersalah membunuh Ahmad Raffli pada 1.50 tengah hari, 10 November 2013 di No 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, di sini.

Shamsinar dan Sumustapha juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, membunuh Ahmad Raffli pada tarikh, tempat dan masa sama.

Nekad langgar tiga motosikal suspek

PARIT BUNTAR - Padah menyamun sekumpulan sahabat, empat suspek dicekup polis setelah motosikal dinaiki dirempuh kereta mangsa yang nekad mengejar mereka sewaktu sedang melarikan diri di Taman Murni, di sini pagi tadi.

Lebih menyedihkan, salah seorang daripada kumpulan sahabat disamun turut ditetak dua suspek di bahagian kepala dengan menggunakan parang sehingga cedera.

Mangsa kejadian, Mohamed Mazis Mohamed Mokhtar,25, berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 10.15 pagi sewaktu dia bersama isteri, Atiqah Nordin, 25, dan tiga rakan lain hendak keluar dari rumah untuk bersarapan pagi.

Menurutnya, dia dan isteri yang berasal dari Kuala Lumpur menumpang tidur di rumah salah seorang rakan mereka di Taman Murni, di sini setelah mereka merancang bercuti di Pulau Pinang.

"Sewaktu kejadian berlaku, saya sudah berada dalam kereta, manakala isteri sedang membuang sampah di luar perkarangan rumah sebelum diacukan parang di leher oleh seorang suspek bermotosikal.

"Tindakan suspek muncul tanpa disedari mengejutkan kami dan suspek bersama tiga lagi rakannya kemudian mengarahkan kami menyerahkan segala barangan berharga,"katanya sewaktu ditemui media di perkarangan Balai Polis Simpang Lima, di sini tadi.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan mangsa tercedera ditetak parang oleh dua suspek kini sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Taiping ketika ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan sedang dijalankan.

Polis cari pemandu langgar pasangan suami isteri

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang terbabit dalam satu kes langgar lari di Jalan Pudu berhampiran Bulatan Jalan Pudu di sini, yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10 pagi, mangsa Meor Ridzuan M Amin, 25, dari Pandan Mewah, Ampang, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM) akibat cedera parah pada kepala dan badan.

Bagaimanapun, isteri mangsa, seorang warga Indonesia dikenali sebagai Sri Winda Astuti, 23, yang sedang hamil enam bulan, selamat dengan hanya cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain memberitahu, siasatan mendapati motosikal ditunggang pasangan suami isteri itu bergerak dari arah Cheras menghala ke arah Jalan Pudu.

"Saksi mendakwa sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih tiba-tiba mahu membuat pusingan U di laluan tidak dibenarkan menyebabkan motosikal terbabit tidak sempat mengelak dan melanggarnya.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak dan mengalami pendarahan yang banyak, manakala kereta terbabit dikatakan berhenti seketika sebelum melarikan diri ke arah Cheras," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Katanya, hingga kini pemandu kereta terbabit belum tampil membuat laporan polis.

"Nombor pendaftaran kereta terbabit sudah dikenal pasti dan usaha mengesan pemandu terbabit sedang dijalankan.

"Polis sudah merakam percakapan saksi kemalangan serta menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu bas rehat 3 jam saja, ujar bapa saudara

JELUTONG - Tidak cukup rehat, itulah yang dikatakan ahli keluarga pemandu bas ekspres, Zakeer Zubir, 32 yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Plus arah Utara Pagoh, Muar Johor semalam.

Bapa saudara mangsa, Abdul Shukoor Abdul Rahim berkata, anak saudaranya itu dipercayai hanya sempat berehat tiga hingga empat jam sahaja.

"Zakeer bertolak dari Pulau Pinang ke Johor pada petang Jumaat, kemudiannya tiba di Johor pada jam kira-kira 11 malam, dia berehat beberapa jam sahaja sebelum meneruskan semula perjalanan ke Kuala Lumpur pada jam 2 pagi.

"Kami dari ahli keluarga mengharapkan supaya orang yang tidak tahu kisah sebenar, tidak cuba untuk membuat pelbagai spekulasi yang bukan-bukan, fikirkanlah perasaan ahli keluarga," katanya.

Dia ditemui media selepas majlis pengebumian Zakeer dan anaknya, Nur Natasya Zahara, 1 dalam satu liang lahad di Tapak Perkuburan Islam Masjid Hashim Yahaya Jalan Perak di sini pagi tadi.

Abdul Shukoor berkata, pihaknya juga mempertikaikan ketiadaan pemandu kedua.

"Kami mahukan jawapan, kenapa tiada pemandu kedua untuk bersama Zakeer dengan jarak perjalanan yang agak jauh," katanya.

Dalam masa yang sama ahli keluarga pemandu bas tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menguruskan jenazah dari awal hingga ke selamat dikebumikan.

Sebelum itu di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron mengesahkan pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di KM 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara semalam tidak memiliki sebarang kesalahan dalam rekod

Berdasarkan rekod, Zakeer tidak mempunyai saman tertunggak, selain rekod bersih.

Malah Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan pemeriksaan Puspakom pemandu bas berkenaan juga masih sah dan aktif.