Lagi nahas maut akibat tayar pecah

TANJUNG MALIM – Belum pun reda kemalangan maut melibatkan suami isteri yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan, Selasa lalu, satu lagi nahas maut berlaku, kali ini di Kilometer 366.7 lebuhraya sama arah Utara, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.53 petang itu dipercayai berpunca masalah sama iaitu tayar pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, kejadian menyebabkan seorang wanita dikenali Ch’ng Siew See, 48 tahun maut di tempat kejadian sementara anak lelakinya berusia 10 tahun, putus jari kaki kiri.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama suami, dua anak dan seorang pembantu rumah dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke Pulau Pinang.

“Tiba di lokasi kejadian, tayar belakang bahagian kiri pecah menyebabkan kereta jenis Peugeot dipandu suami mangsa hilang kawalan lalu berpusing dan melanggar pembahagi jalan.

“Suami mangsa berusia 48 tahun, anak  perempuan berusia 17 tahun serta pembantu rumah warga Indonesia berusia 32 tahun tidak cedera.

“Bagaimanapun kesemua mereka dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, sepasang suami isteri maut sementara enam yang lain parah dalam nahas membabitkan lapan kenderaan apabila sebuah lori tangki hilang kawalan selepas tayar hadapan bahagian kanan pecah sebelum merempuh pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.