Susu Marigold HL Coklat Tercemar Akibat Kerosakan Injap

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendapati susu Marigold HL perisa coklat yang menjadi pekat daripada biasa sehingga ditarik dari pasaran sebelum ini, berpunca daripada pencemaran bakteria akibat injap yang rosak semasa pemprosesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata siasatan kementerian juga menunjukkan syarikat pengeluar, Malaysia Milk Sdn Bhd (Malaysia Milk) sudah mengambil tindakan pembetulan terhadap kerosakan injap berkenaan.

"Kementerian juga sedang memantau proses penarikan balik dan pelupusan produk terbabit bagi memastikan semua produk yang dihasilkan dari tarikh pengilangan produk seperti dalam aduan sehingga masa kerosakan injap dikesan ditarik balik.

"Justeru, kementerian menasihatkan orang ramai supaya mengikut nasihat syarikat berkenaan, jangan meminum produk terbabit dan memulangkannya kembali produk yang dimaksudkan kepada penjual," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BH pada Selasa lalu melaporkan Malaysia Milk menarik balik produk susu Marigold HL 200 mililiter dan satu liter daripada pasaran serta-merta kerana terjejas akibat pencemaran bakteria.

Tindakan itu dibuat selepas menerima maklum balas pelanggan berhubung produk susu berperisa coklatnya lebih pekat daripada biasa..

Walaupun maklum balas pelanggan merujuk secara khusus kepada susu Marigold HL berperisa coklat, namun syarikat itu turut menarik balik produk susu lain sebagai langkah pro aktif, termasuk Marigold HL lemak rendah, berperisa strawberi dan sterol tumbuhan yang mempunyai tarikh luput sebelum 7 November bagi Semenanjung Malaysia dan sebelum 11 November bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.

Habislah...Polis dah Cari

Kulai: Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki memukul dan mengugut seorang individu dipercayai kakitangan SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ) selepas video insiden itu viral di laman sosial Facebook (FB) hari ini.

Video berdurasi 15 saat itu yang mula tersebar sejak jam 4 petang tadi memaparkan seorang lelaki memakai jaket SAJ yang berada di atas motosikal ditumbuk di muka oleh seorang lelaki, manakala seorang lagi menendang dan merampas topi keledar mangsa.

Ia dipercayai berlaku apabila lelaki berkenaan dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan kakitangan SAJ itu memotong bekalan air di kawasan Kampung Melayu di sini.

Kejadian itu dipercayai dirakam seorang lagi kakitangan SAJ bertugas, yang mana suspek dilihat turut menuju ke arahnya sebelum rakaman ditamatkan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden terbabit.

Beliau berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana melakukan ugutan.

Sementara itu, jurucakap SAJ memaklumkan mereka hanya menyedari kejadian itu selepas melihat video berkenaan dalam laman sosial.

"Kami masih menyiasat perkara ini kerana sehingga kini kami tidak menerima apa-apa laporan daripada mangsa walaupun difahamkan laporan polis sudah dibuat," katanya..-Kopi O