Fenomena air pasang besar: 13 kawasan terjejas

SHAH ALAM - Sebanyak 13 kawasan di lima daerah di Selangor dilanda banjir akibat limpahan air laut berikutan fenomena air pasang besar awal pagi semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata setakat ini, keadaan banjir sudah reda di kesemua kawasan berkenaan setelah air surut sejak tengah hari tadi.

Beliau berkata, kejadian itu tidak memerlukan pemindahan mangsa dan tiada kemalangan jiwa.

Kawasan yang terjejas akibat fenomena air pasang besar itu ialah Kampung Tok Muda, Kapar dengan paras ketinggian air 100 hingga 250 milimiter (mm); Taman Maznah, Klang (50 hingga 250 mm); Taman Selat Selatan, Klang (50 hingga 200 mm).

Selain itu, kawasan Sementa, Klang turut dinaiki air dengan ketinggian 50 hingga 200 mm; Kampung Sungai Pinang, Klang (900mm); Kampung Tok Muda, Pulau Indah, Klang (900 mm); Jalan Klang-Banting, Pandamaran (900 mm); dan Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang (900 mm).

"Bagi daerah Kuala Selangor pula, kawasan yang dilimpahi air sungai akibat peningkatan paras air laut adalah pekan Bagan Pasir Penambang dengan paras air mencecah 100 hingga 200 mm manakala kawasan Pantai Remis pula mencapai ketinggian air sehingga 5.6 meter.

"Pantai Kelanang di Banting mencapai ketinggian air sehingga 5.6 meter selain Kampung Sungai Air Tawar, Tebuk Mendeleng serta Sungai Lang di Sabak Bernam juga dinaiki air sebanyak 0.6 meter. Pekan Tanjong Karang turut dlimpahi air setinggi 900 mm," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Sani turut meminta orang ramai terutamanya yang berdekatan dengan kawasan sungai atau laut supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan berikutan jangkaan air laut pasang tinggi berlaku dalam tempoh beberapa hari ini. - Bernama 

Ramai tak tahu bahaya ‘Dadah Zombie

TIDAK ramai mengetahui di luar sana wujud sejenis dadah baharu, Flakka atau alpha-Pyrrolidinopentiophenone yang mendatangkan bahaya umat manusia.

Dikenali sebagai Flakka atau ‘dadah zombie’, Flakka yang  kini telah merebak di beberapa negara besar telah mencetuskan huru hara di kalangan kehidupan masyarakat di sana.

Memetik daripada video yang dikongsikan oleh pengguna media sosial, dadah ini boleh membuat penagihnya memberi tindak balas agresif yang luar biasa.


Kebanyakan penagih akan meronta, menjerit, malah turut mencederakan diri sendiri  ketika dadah ini ‘merasuk’ dan mempengaruhi mereka.

Malah terdapat kes di mana seorang penagih dadah Flakka merempuh kereta yang sedang bergerak, menyebabkan kecederaan kepada dirinya sendiri dan pemandu di dalam kenderaan tersebut.

Penagih dadah zombie ini juga mempunyai kecenderungan untuk mencederakan orang di sekelilingnya.

Kebanyakan daripada mereka akan hilang kawalan diri dan menyerang individu yang paling hampir dengannya.

Menurut pandangan Ahli Epidemiologi dan Penyalahgunaan Dadah di Nova Southeastern University, Fort Lauderdale, Florida, Jim Hall, dadah sintetik ini telah diharamkan sejak 2012 kerana dosnya yang terlalu susah untuk dikawal dan ditentukan.

“Terlalu susah untuk menentukan dos dadah Flakka yang sebenar. Hanya dengan sedikit perbezaan dalam dos yang menentukan sama ada pengguna dadah ini boleh khayal atau mati.

“Jika pengguna mengambil dos berlebihan dari kadar sebenar, pengguna dadah jenis ini hilang kawalan diri dan bertukar menjadi agresif,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan menyeluruh CNN.com ke atas dadah berbahaya ini.

Menurut Hall lagi, suhu tubuh badan pengguna atau penagih dadah Flakka ini akan meningkat kepada 105 darjah celsius, selain menyebabkan mereka mengalami paranoia yang teruk.

Menurut Hall lagi, kesan ke atas penagih dadah jenis Flakka ini tidak akan hilang dan kebiasaannya akan berkekalan, biarpun pengguna tidak lagi mengambil dadah tersebut.

Penggunaan dadah ini secara berterusan akan menyebabkan kerosakan teruk pada buah pinggang dan otot.

Duta besar Britain peluk Islam, tunai ibadah haji

JEDDAH - ARAB SAUDI. Duta Britain ke Arab Saudi, Simon Collis, memutuskan untuk memeluk Islam selepas berdamping dengan komuniti itu selama 30 tahun.

Memetik laporan DailyMail, melaporkan selepas beliau menjadi seorang Muslim Collis mengambil keputusan untuk menunaikan ibadah haji  pada tahun ini, bersama isterinya Huda al-Mujarkech.

"Saya memutuskan untuk mengucapkan kalimah syahadah setelah 30 tahun hidup bersama orang  Islam dan sebelum mengahwini Huda," tulis Simon petik DailyMail.

Sementara itu menurut beberapa laporan sebelum ini mendedahkan Collis memeluk Islam pada 2011, menjelang beberapa ketika sebelum beliau mengahwini Huda.

Dalam pada itu menurut Collis, dia akan menggunakan nama asalnya walaupun selepas memeluk Islam.

Terdahulu, sebelum menjadi duta di Arab Saudi, Collis sebelum ini menjadi duta Britain di Syria dari 2007 hingga 2012, selepas itu di Iraq pada 2014 dan pada Januari 2015 beliau memulakan tuganya di Arab Saudi.

Collis menjadi salah seorang daripada  19,000  warga Muslim Britain yang menunaikan haji pada tahun ini.