SELAMA – Di sebalik kegembiraan penoreh getah terhadap kenaikan harga komoditi itu terselit kegusaran yang tinggi apabila terpaksa berdepan dengan kes kecurian hasil dalam tempoh beberapa minggu ini.
Perkara itu meskipun bukan sesuatu yang baru, namun ia bukan satu masalah yang kecil buat penduduk kampung apatah lagi pendapatan yang cukup-cukup makan itulah yang ditagih untuk menampung kos hidup.
Seperti yang diluahkan penduduk di Selama yang mana 78 peratus penduduknya menjadikan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan utama, antara yang terbesar adalah getah.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata penoreh melahirkan rasa bimbang dan keluh kesah mereka berhubung kejadian kecurian getah skrap yang semakin berleluasa.
Pendapatan naik sekali ganda
Seorang penoreh yang ditemui, Rosanah Said, 60, dari kampung Anak Sungai Rambutan berkata, sejak harga getah naik, pendapatan diperoleh hampir sekali ganda antara RM200 berbanding sebelum ini sekitar RM120.
Bagaimanapun katanya, dengan berlakunya kes curi getah skrap, mereka hanya mendapat sekitar RM20-50 bagi tempoh seminggu menoreh.
“Kes ni baru je jadi minggu lepas, datang ke kebun nak kutip getah, tapi habis semua dicuri. Luluh rasa hati sebab wang hasil getah itu sebenarnya nak guna untuk beli barangan persekolahan anak.
“Memang kecewa dan sedih kerana sumber pendapatan hanya diperoleh melalui menoreh getah,” katanya.
Rosanah berkata, setiap hari dia akan keluar rumah sekitar jam 4 pagi hingga 11 pagi untuk menoreh.
“Besar harapan untuk mendapatkan rezeki tetapi apabila sering dicuri, pendapatan kami penoreh memang akan terus terjejas walaupun harga getah naik,” katanya.
Rosanah yang juga seorang ibu tunggal berkata, menoreh getah adalah sumber pendapatannya sejak berusia 10 tahun lagi.
“Tidak kira harga murah atau mahal, makcik tetap akan menoreh bagi menampung keperluan hidup.
Katanya, dia hanya menoreh kebun orang seluas empat ekar dan hasilnya perlu di bahagi dua pula.
“Jadi pendapatan yang makcik peroleh tidak seberapa dan jika kejadian kecurian ini terus berlaku, bagaimana kami ingin memperoleh pendapatan lebih,” katanya.
Kes curi bantutkan kegembiraan
Bagi Siti Rohani Ahmad, 45, berkata, dia juga mula menoreh sejak tujuh tahun lalu dan kenaikan harga getah baru-baru ini sebenarnya langsung tidak membantu penoreh berikutan kejadian curi yang berlaku.
“Bayangkanlah untuk mendapatkan sedikit duit, saya perlu berjalan kaki selama satu setengah jam setiap hari untuk ke kebun getah.
“Saya akan bersama sepupu untuk menoreh dan hasil yang diperoleh akan dibahagi dua dengan pemilik kebun kemudian dibahagi lagi dua.
“Kami tidak boleh hidup senang dengan hanya menoreh kerana pendapatan yang diperoleh hanya sekadar cukup makan.
“Sebelum harga naik, saya hanya dapat sekitar RM 70 seminggu dan bayangkanlah perbelanjaan yang boleh digunakan untuk menampung keperluan harian dan perbelanjaan persekolahan anak dengan jumlah tersebut,” katanya.
Katanya, mereka bukan tak gembira dan bersyukur dengan kenaikan harga getah, tetapi penoreh tidak dapat merasainya berikutan risiko kecurian yang kerap berlaku.
“Oleh itu, kami penoreh getah amat berharap pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha mengatasi masalah ini,” katanya.
'Angkara penagih'
Adun Selama, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff berkata, tidak dinafikan bahawa selepas kenaikan harga itu, beliau sering menerima aduan daripada pekebun kecil ini bahawa mereka bimbang dengan kegiatan mencuri getah skrap yang semakin berleluasa.
Menurutnya, kegiatan tersebut mula aktif di kawasan Selama selepas harga getah naik, namun ia masih belum sampai pada tahap yang serius.
“Kegiatan tersebut, tidak boleh terus dibiarkan begitu sahaja sebaliknya elemen membanteras perlu dilakukan secara bersepadu antara pihak polis dan agensi-agensi yang berkaitan,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan mereka yang melakukan kegiatan mencuri getah skrap ini adalah mereka yang terlibat dengan dadah.
“Kegiatan mereka ini tidak mengira masa dan dilakukan tanpa rasa takut, walaupun sedar bahawa perbuatan tersebut salah, atas desakan untuk membeli dadah mereka sanggup mencuri dengan mengambil jalan singkat,” katanya.
Mohamad Daud berkata, kegiatan mencuri, dadah dan judi yang berlaku ini sememangnya mengganggu kehidupan penduduk tambahan dalam keadaan ekonomi sekarang.
“Ekonomi penduduk seolah-olah diragut sehingga lompong dan senario tersebut harus dikekang hingga ke akar umbi,” katanya.
Polis lakukan pemantauan
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, dalam tempoh terdekat ini, polis belum menerima sebarang aduan daripada penoreh getah berhubung kegiatan mencuri getah skrap.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna pihaknya berdiam diri sahaja tanpa melakukan pemantauan.
“Kita sentiasa meningkatkan pelbagai usaha bagi membanteras kegiatan kecurian bukan hanya melibatkan getah, tetapi hasil tanaman lain seperti kelapa sawit,” katanya.
Beliau berkata, usaha telah dijalankan antara pencegahan jenayah antaranya dengan melakukan sekatan jalan raya, ronda cegah jenayah, ronda berjalan kaki dan Ops biru iaitu rondaan yang dilakukan sekitar jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.