Tragedi menjelang Krismas ragut 18 nyawa

KUALA LUMPUR - Sehari menjelang Krismas, 18 nyawa melayang dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di Muar, Johor dan Tampin, Negeri Sembilan.

Awal pagi tadi kira-kira kira-kira pukul 3.30 pagi, sebuah bas ekspres terjunam ke dalam cerun setinggi 10 meter di Kilometer 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, Johor.

Dalam kemalangan itu 14 maut manakala 16 lagi cedera, manakala di Tampin pula, empat sekeluarga termasuk dua bayi kembar berusia satu tahun maut dalam kemalangan membabit dua kenderaan di Jalan Tampin-Gemas.

Kejadian di Tampin berlaku pukul 3.20 petang hari ini apabila sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki enam sekeluarga dipercayai terbabas sebelum melanggar sebuah kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki yang berusia 62 tahun yang datang dari arah bertentangan.

Kemalangan jalan raya dilihat sering berlaku setiap kali musim perayaan sekali pun pelbagai langkah penguatkuasaan dilakukan dalam memberi kesedaran kepada para pengguna agar memandu secara berhati-hati.

Kemalangan bas menyayat hati itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menerusi catatan di Twitternya hari ini merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan bas ekspres yang mengorbankan 14 nyawa.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah bertindak menggantung serta-merta lesen perkhidmatan Goldstar Express (M) Sdn Bhd, pengendali bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Muar itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai turut mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk menjalankan siasatan terhadap nahas bas itu.

Liow berkata kementerian memandang serius kemalangan bas ekspres itu dan siasatan perlu dilakukan dari pelbagai sudut keselamatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang, dalam analisis beritanya hari ini berkata: "Satu lagi kemalangan membabitkan bas ekspres yang meragut banyak nyawa tetapi seperti biasa tiada usaha serius dilakukan untuk memastikan perjalanan lebih selamat dan nampaknya tragedi yang berlaku pada masa lalu tidak dijadikan iktibar.

Tragedi menjelang sambutan Krismas ini adalah satu daripada tragedi yang berlaku dari semasa ke semasa dalam dekad lalu yang mengorbankan banyak nyawa terutama semasa musim perayaan apabila permintaan bagi pengangkutan awam biasanya melonjak tinggi," kata Azman.

Menurutnya walaupun banyak faktor dipersalahkan bagi kemalangan maut membabitkan bas ekspres, termasuk faktor pemandu yang mengantuk adalah punca utama nahas, sama ada majikan mereka menerima hakikatnya atau tidak.
Perkara itu harus mula menyedarkan pihak berkuasa keselamatan jalan raya untuk berfikir di luar kotak dan mengambil beberapa tindakan drastik dan tidak sebaliknya berpuas hati dengan status quo yang hanya boleh menyebabkan berlaku lagi kemalangan dan kematian, katanya.

"Berapa banyak lagikah kemalangan yang akan berlaku, baru kita dapat melihat langkah-langkah pencegahan seperti melarang bas ekspres melakukan perjalanan semasa "waktu mengantuk" dan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang dikuatkuasakan?," kata Azman. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.