KOTA BHARU 14 Nov. – Anggota dan pegawai agensi penguatkuasaan di negara ini dibenarkan menggunakan senjata api termasuk melepaskan tembakan yang membawa kepada kematian sekiranya nyawa mereka diancam penjenayah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagaimanapun berkata, semua penguat kuasa, lebih-lebih lagi agensi di bawah Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Saya sarankan pegawai dan anggota penguat kuasa yang dibekalkan dengan senjata api secara sah supaya tidak teragak-agak atau takut-takut untuk menggunakannya jika nyawa mereka terancam.
“Mereka berhak mempertahankan diri, sebab itu dihalalkan oleh undang-undang untuk mereka melepaskan tembakan. Tidak kiralah tembak penjenayah sampai mati pun, mereka memang berhak dari segi peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri di Wisma JKDM, Padang Bongor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JKDM negeri, Mohd. Nasir Yusoff.
Mohamed Apandi mengulas insiden seorang pegawai kastam, Anisah Ali, 54, yang meninggal dunia akibat cedera parah selepas kenderaan dinaikinya dalam operasi dilanggar tonto di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas, bulan lalu.
Beliau yang juga Pengerusi NRRET dalam pada itu berkata, berdasarkan pemerhatiannya, penggunaan senjata api dalam kalangan anggota JKDM digariskan dalam SOP operasi agensi itu, namun tidak dijelaskan secara terperinci.
Sehubungan itu, katanya, pihak Jabatan Peguam Negara bercadang menyemak semula SOP berkaitan penggunaan senjata api bagi semua agensi penguatkuasaan di bawah NRRET di seluruh negara.
“Perkara ini perlu dilakukan secepat mungkin supaya ada garis panduan yang jelas untuk anggota melaksanakan tugas, lebih-lebih lagi di kawasan berisiko yang bersempadanan dengan negara jiran seperti Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis
“Kita akan bantu memberi nasihat kepada JKDM dalam merangka satu SOP baharu yang lebih tepat dan berkesan supaya anggota penguat kuasa tidak lagi teragak-agak menggunakan senjata api. Sementara menunggu SOP terbaharu ini dikeluarkan, saya minta penguat kuasa ikut saranan saya. Itu jaminan saya sebagai Peguam Negara,” katanya.