Terima kasih, bantuan sudah tiba di Syria

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Terpanggil dengan 'seruan' bebanan rakyat Syria yang kini berhadapan dengan kesukaran meneruskan hidup, ada perkhabaran gembira buat mereka.

Lima buah trak yang membawa 'bekalan' sumbangan rakyat Malaysia kini sudah sampai ke tanah air mereka.

Menurut Ketua Misi Penghantaran Bantuan Kecemasan RescueSyria (Mapim), Sani Araby al Kahery, yang kini berada di sempadan Turki-Syria memberitahu, kesemua trak itu mengandungi bekalan makanan, pemanas air dan keperluan lain untuk memenuhi tuntutan mereka di sana.

"Trak pertama dan kedua membawa 50 tan tepung untuk dibuat roti dan akan dihantar kepada 50,000 keluarga pelarian, sementara itu trak ketiga pula membawa selimut, sebanyak 2,000 selimut akan dihantar terus kepada pelarian baharu di Aleppo dan kawasan berdekatan, seterusnya kita hantar 1000 pemanas air (trak keempat) yang berharga RM250 satu, dan kita perlukan 1000 lagi, jadi kita buka wakaf kepada sesiapa yang ingin beli pemanas air... dan trak kelima membawa 'food pack' untuk diberikan kepada 3000 keluarga dalam Syria.

"Untuk makluman tiga trak akan di hantar hari ini (semalam) dan dua terus masuk ke dalam Syria," katanya menerusi Live di Facebooknya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga telah berjaya menghantar dua buah ambulans ke Syria.

"Ianya untuk kegunaan di hospital Aleppo dan kita akan hantar pesakit ke Sempadan Turki untuk di ambil alih oleh Kementerian Kesihatan Turki di sempadan itu, kini kita sasarkan lagi dua buah ambulans.

"Untuk semua ini saya ucapkan terima kasih buat rakyat Malaysia, kerana banyak membantu," katanya lagi.

Sementara itu, perkembangan semasa di kem tahanan pelarian di Syria kini, pelarian berdepan dengan cuaca sejuk melampau yang berpotensi mengancam nyawa khusus kepada anak kecil.

Difahamkan, khemah yang digunakan untuk menempatkan setiap keluarga gagal memberikan kehangatan yang selesa buat mereka.

Malah, pelarian Syria mendakwa, mereka masih tidak dapat lena di malam hari akibat terlalu sejuk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.