PARIT BUNTAR - Padah menyamun sekumpulan sahabat, empat suspek dicekup polis setelah motosikal dinaiki dirempuh kereta mangsa yang nekad mengejar mereka sewaktu sedang melarikan diri di Taman Murni, di sini pagi tadi.
Lebih menyedihkan, salah seorang daripada kumpulan sahabat disamun turut ditetak dua suspek di bahagian kepala dengan menggunakan parang sehingga cedera.
Mangsa kejadian, Mohamed Mazis Mohamed Mokhtar,25, berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 10.15 pagi sewaktu dia bersama isteri, Atiqah Nordin, 25, dan tiga rakan lain hendak keluar dari rumah untuk bersarapan pagi.
Menurutnya, dia dan isteri yang berasal dari Kuala Lumpur menumpang tidur di rumah salah seorang rakan mereka di Taman Murni, di sini setelah mereka merancang bercuti di Pulau Pinang.
"Sewaktu kejadian berlaku, saya sudah berada dalam kereta, manakala isteri sedang membuang sampah di luar perkarangan rumah sebelum diacukan parang di leher oleh seorang suspek bermotosikal.
"Tindakan suspek muncul tanpa disedari mengejutkan kami dan suspek bersama tiga lagi rakannya kemudian mengarahkan kami menyerahkan segala barangan berharga,"katanya sewaktu ditemui media di perkarangan Balai Polis Simpang Lima, di sini tadi.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan mangsa tercedera ditetak parang oleh dua suspek kini sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Taiping ketika ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan sedang dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.