Tembak jika nyawa 
terancam – Peguam Negara

KOTA BHARU 14 Nov. – Anggota dan pegawai agensi penguatkuasaan di negara ini dibenarkan meng­gunakan senjata api terma­suk melepaskan tembakan yang membawa kepada kematian sekiranya nyawa mereka diancam penjenayah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagaimanapun berkata, semua penguat kuasa, lebih-lebih lagi agensi di bawah Pasukan Penguatkuasaan Pemu­lihan Hasil Negara (NRRET) perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya sarankan pegawai dan anggota penguat kuasa yang di­bekalkan dengan senjata api secara sah supaya tidak teragak-agak atau takut-takut untuk meng­gunakannya jika nyawa mereka terancam.

“Mereka berhak mempertahankan diri, sebab itu dihalalkan oleh undang-undang untuk mereka melepaskan tembakan. Tidak kiralah tembak penjenayah sampai mati pun, mereka memang berhak dari segi peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadi­ri Majlis Ramah Mesra Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri di Wisma JKDM, Padang Bongor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JKDM negeri, Mohd. Nasir Yusoff.

Mohamed Apandi mengulas insiden seorang pegawai kastam, Ani­sah Ali, 54, yang meninggal dunia akibat cedera parah selepas ken­deraan dinaikinya dalam operasi dilanggar tonto di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas, bulan lalu.

Beliau yang juga Pengerusi NRRET dalam pada itu berkata, berdasarkan pemerhatiannya, peng­gunaan senjata api dalam kalangan anggota JKDM digariskan dalam SOP operasi agensi itu, namun tidak dijelaskan secara terperinci.

Sehubungan itu, katanya, pihak Jabatan Peguam Negara bercadang menyemak semula SOP berkaitan penggunaan senjata api bagi semua agensi pe­nguatkuasaan di bawah NRRET di seluruh negara.

“Perkara ini perlu dilakukan secepat mungkin supaya ada garis panduan yang jelas untuk anggota melaksanakan tugas, lebih-lebih lagi di kawasan be­risiko yang bersempadanan de­ngan negara jiran seperti Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis

“Kita akan bantu memberi nasihat kepada JKDM dalam me­rangka satu SOP baharu yang lebih tepat dan berkesan supaya anggota penguat kuasa tidak lagi teragak-agak menggunakan senjata api. Sementara menunggu SOP terbaharu ini dikeluarkan, saya minta penguat kuasa ikut saranan saya. Itu jaminan saya sebagai Peguam Negara,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.